Nuffnang Nuffnang

Monday, August 10, 2015

Satu Hati

Jam menunjukkan 3 pagi. Namun Qisha masih belum menerima apa-apa berita dari tunangnya, Izham. Kebiasaannya Izham pasti akan menghantar teks mahupun call Qisha dan memaklumkan di mana destinasi penghentiannya. Tetapi kali ini agak janggal kerana hampir 3 pagi, tiada sapaan langsung dari Izham.

Qisha semakin risau. Matanya semakin pedih namun hatinya tidak tenteram. 

"Ke mana saja lah Am ni. Takkan tak berhenti kat R&R mana-mana kot. Selalu jam macam ni, dia dah sampai KL dah. Nak call, ntah-ntah tengah drive. Menyesal pulak tak halang sungguh-sungguh tadi!" keluh Qisha keseorangan di dalam bilik, berbaring di katil sambil tangannya memusing-musingkan telefon bimbitnya itu.

Seperti biasa, Izham yang  berkerja di Kuala Lumpur pasti akan pulang ke Johor Bahru untuk bertemu Qisha (dahulu) pada setiap minggu (kemudian baru kedua ibu bapanya.) Hubungan mereka terjalin sejak di bangku sekolah lagi dan mereka baru 5 bulan bertunang. Walaupun keluarga Qisha menghalang dan Qisha pernah meminta putus, namun Izham tetap berkeras mahu menyunting Qisha menjadi teman hidupnya. Qisha juga berat hati namun kerana cintanya yang mendalam terhadap Izham, dia merelakan jua. 

"Saya akan jaga awak sepenuh hati saya, sayang. Saya takkan sia-siakan awak. Never ever! Ini janji saya pada awak!" Qisha hanya menundukkan diri dan tidak mampu berkata apa sejurus mereka ditunangkan. Dia semahunya menghalang namun hatinya tidak mampu. 

"Jauh terbawa lukisan hatiku.... " bunyi ringing telefon lagu Potret nyanyian Akim berdering minta dijawab. Lantas Qisha menjawab dan tidak sampai seminit, air hangat yang jernih meluncur laju jatuh ke pipinya. Meraung Qisha mendengar khabar berita dari Farid, abang sulong Izham. Izham kemalangan dan keadaanya sangat membimbangkan! Ibu dan bapa Qisha yang mendengar raungan Qisha segera ke biliknya dan melihat Qisha laksana wanita yang kematian anak pertama, berjalan sekeliling bilik tanpa tujuan. Qisha terus memeluk ibunya dan terus menceritakan perihal kemalangan itu dan mereka terus bersiap dan memulakan perjalanan mereka ke Seremban.


Setibanya mereka bertiga di Hospital Seremban, keadaan Qisha menjadi semakin lemah dan tidak bermaya akibat menangis sepanjang perjalanan. Qisha akhirnya pengsan selepas melihat keadaan Izham yang penuh dengan wayar-wayar sana sini. Setelah keluarga masing-masing membuat perbincangan dengan pihak hospital, mereka bersetuju membawa Izham dan Qisha mendapat rawatan di Johor Bahru pada pagi itu juga.


Keadaan Izham masih kritikal. Qisha pula masih tidak sedarkan diri. Keluarga masing-masing mengharapkan keajaiban dari Tuhan supaya pasangan dua sejoli ini segera sembuh. Tetapi Tuhan adalah sebaik-baik perancang. Sehari selepas dimasukkan ke Puteri Specialist Hospital, doktor sedaya upaya menyelamatkan Izham namun dek kerana kecederaan dalaman yang serius, Izham tidak dapat diselamatkan. Sebelum Izham pergi, dia telah memberi satu wasiat penting dan dia telah meninggalkan wasiat itu kepada abangnya Farid.


Perbuatan antara Izham dan Farid menerusi Whatsapp dua hari sebelum kemalangan 


Izham : Yid, kalau aku mati, aku wasiatkan kau bagi hati aku pada Qisha ye. Aku nak hadiahkan hati aku ni pada Qisha.

Farid : A menda yang kau cakap merepek ni giler! Meh datang Osman kita pekena roti canai. Budak-budak semua ada sini. Takyah laaa asyik nak berendut* je. Kau belanja ok!
Izham : Aku cakap betul ni. Kau bagi hati aku pada Qisha tau!
Farid : Aduhhh,  kau ni. Cepat datang Osman Uda. Budak-budak semua dah tanya kau!!
Izham : Ok ok, otw.
*berendut = bercinta 

Dua hari kemudian, Qisha terjaga dan terus menyebut nama Izham. Ibunya yang tak lekang Surah Yassin ditangan terus menenteramkan Qisha. Dengan perlahan-lahan ibunya membacakan Surah Al-Fatihah dan menghembuskan ke ubun-ubun kepala Qisha sambil mencium ubun-ubun itu. Dengan lafaz Bismillah ibunya memulakan langkah untuk menceritakan semuanya.


"Qisha sayang ibu, ibu harap Qisha tabahkan hati ye nak. Izham... Izham..." Puan Aziah tidak mampu meneruskan kata-kata kerana terlalu sedih dan dia terus menangis teresak-esak. Bapa Qisha, Encik Rahman pula menyambung kata-kata ibu Qisha.

"Ayah harap Qisha sabar ye sayang. Ayah nak Qisha tabahkan hati dan kuatkan semangat Qisha. Izham cedera parah dalam kemalangan itu, tulang rusuknya patah dan pembuluh darahnya pecah dan dia tak dapat diselamatkan. Allah lebih menyayangi dia Sha."

Makin bercucuran air mata Qisha mendengarnya. Dia tidak sangka bahawa tunangnya itu pergi dulu dan tidak meninggalkan apa-apa pesan pun.


"Am tak ada tinggalkan pesan apa-apa ke pada Qisha?"

Farid yang dari tadi berdiri di muka pintu mula bersuara. 
"Ada, dia suruh abang dermakan hatinya pada Qisha."

Air mata Qisha semakin meluncur laju tanpa batasan. Itulah sebabnya mengapa keluarga Qisha menghalang Izham mengahwini Qisha. Qisha adalah seorang pesakit hati yang kronik. Separuh dari hatinya sudah rosak dan dia masih dalam senarai menunggu derma hati dari para penderma organ. Qisha tidak mahu Izham berkahwin dengan pesakit hati yang kronik kerana doktor sahkan Qisha hanya mampu bertahan lebih kurang 8 bulan ke setahun. Namun Izham yang memang terkenal sifat kepala batunya tetap mahu mengahwini Qisha. 


"Saya tak boleh nak fikir orang lain la awak.. Dalam hati saya ni ada awak sorang je... Nurqisha Laila Binti Rahman hanya ada dalam ingatan Izham Rashidi Bin Hj Mohammad aje, sampai makan pun tak lena, mandi pun tak kenyang.... Ehhh!"


"Ye Sha, masa Sha dapat tahu berita kemalangan Izham, Sha menangis tak henti-henti. Hati Sha menjadi bengkak dan Sha terus pengsan selepas tengok keadaan Izham. Doktor di Seremban beri nasihat suruh bawa Qisha balik JB dan buat pembedahan kat JB. Ibu dan ayah bincang dengan keluarga arwah Am bawak kamu berdua balik JB sebab taknak pisahkan kamu berdua. Namun Allah lebih sayangkan arwah Am. Lepas je post-mortem je, doktor terus bedah hati Sha dan gantikan hati Sha dengan hati arwah Am."


"Arwah Am????" Pedih sangat pedih Qisha mendengar perkataan itu dari mulut ibunya sendiri. Selepas mendengar penjelasan ibunya, Qisha terus pejamkan matanya dan mengingati kata-kata akhir dari Izham sebelum Izham berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam kejadian yang meragut nyawa tunang kesayangannya itu.


"Hati ini milik awak dan akan jadi milik awak selamanya. Hati kita akan jadi satu sampai bila-bila. Saya sayang awak sampai Jannah!" 



No comments:

Post a Comment

Komen lah!